ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

suratan bukan kebetulan















"Suratan Tiada Kebetulan". Bukanlah mana-mana judul lagu. Bukan juga tajuk filem-filem ataupun puisi. Suratan Bukan kebetulan adalah satu judul, maudu' perkongsian ilmu. Daripadanya manfaat bakal kita peroleh. Manfaat yang seharusnya menghakis budaya bergantung pada nasib. Budaya berharap pada kebetulan. Budaya atau cara hidup yang berorientasikan ramalan dan rasional semata-mata. Sering kita dengar ucapan "good Luck" sebelum berhadapan dengan sesuatu ujian, syariatullah ataupun sunatullah. Selalu juga kita ungkap frasa "eh kebetulan pula". Ianya sudah menjadi kebiasaan, bahkan boleh sahaja dikatakan menjadi sebahagian daripada budaya kita.

Barangkali kita alpa, atau tidak perasan bahawa setiap tutur bicara kita mendokong budaya atau cara hidup yang tidak syumul. Bukanlah menjadi satu kesalahan yang serius dengan memberi ucapan good Luck kepada sahabat-sahabat kita dengan niat agar dia beroleh hasil yang baik. Namun, jika diteliti dari definisi luck itu sendiri, bukankah ianya bermaksud nasib? Sesuatu keberuntungan dan kebaikan yang dapat secara tidak disengajakan atau mudah juga difahami sebagai "ada ong".

Manakala dialog "eh kebetulan pula," "macam kebetulan pula" "dah jadi kebetulan" dan lain-lain lagi hampir sahaja kepada menafikan segalanya di atas percaturan Allah. Sememangnya segala perbuatan bermula dengan niat. Tetapi tidak inginkah setiap tutur kata kita menjadi ibadah? Setiap bicara kita menjadi dakwah? Penggunaan frasa good luck juga membentuk persepsi kita melihat pada sesuatu hasil berbanding usaha. Lantaran itu, kita sering berharap kepada kebaikan dan keberuntungan sedangkan usaha dan tawakal tidak seberapa. Kita juga kerap inginkan hasil yang pantas atau segera tanpa sedar kita tidak ikhlas dalam memberi sumbangan.

Teringat satu kisah pendek. Seorang kanak-kanak meyertai pertandingan lumba kereta mainan. Sebelum pertandingan bermula, kanak-kanak tersebut berdoa. Tingkahlakunya diperhatikan oleh juri dan penyampai hadiah. Usai pertandingan, kanak-kanak tersebut diumum sebagai pemenang. Kemudian si penyampai hadih memanggil kanak-kanak tersebut seraya berseloroh, "mari sini si juara. Mungkin tadi kamu berdoa memperoleh kemenangan." Lalu kanak-kanak tersebut menjawab, "tidak adil jika saya mendoakan kemenangan bagi saya dan sahabat-sahabat lain akan kalah kerana saya. Tetapi saya berdoa, sekiranya saya kalah saya tidak akan menangis."

Mudah sahaja ibrah yang kita peroleh melalui kisah tersebut. Bahawa hasil kejayaan bukan milik kita seorang. Kita inginkan kebaikan, tetapi pada masa yang sama kita pula mengatur Allah memberi kebaikan dan kejayaan mengikut keinginan kita. Barangkali konsep ta'abudiyyah atau kehambaan sudah terhakis. Mungkin juga natijahnya dari budaya penggunaan frasa good Luck atau percaya kepada kebetulan. Bahkan, dialog dari cerita Kungfu Panda "there is no accident is this world", juga menunjukkan tiadanya kebetulan di dalam kehidupan. Atas dasar itu, kita perlu mengubah cara hidup dan budaya perbualan dengan meyakini segala yang berlaku adalah percaturan dari Allah. Persoalannya sama ada kita percaya atau tidak. Sekiranya kita yakin dan percaya Allah tahu apa yang terbaik buat kita, sudah tentu kita tidak akan melihat pada hasil semata-mata. Sudah tentu juga ucapan kebaikan kepada sahabat digantikan dengan frasa yang lebih baik.

Kisah sirah paling baik yang kita boleh fahami melalui peristiwa yang menimpa nabi Allah Ibrahim a.s. Di saat beliau hendak dibakar, telah datang malaikat memberi pertolongan. Tetapi nabi Allah Ibrahim menolak pertolongan daripada malaikat dan hanya berkata, "Cukuplah Allah mengetahui apa yang berlaku ke atas diriku." Inilah konsep kepercayaan dan keyakinan yang paling jelas. Kita sendiri yang bergerak di jalan Allah masih kurang keyakinan bahawa Allah akan membantu terutama di saat kita memerlukan. Maka, tidak hairanlah keutamaan hak kita diselesaikan dahulu berbanding hak Allah. Dan boleh pula kita berharap hasil yang baik hanya dengan berdoa atau dengan kebetulan.

Kesimpulannya, bermulalah membuat anjakan. Jadikan setiap perbuatan dan tutur kata sebagai ibadah. Secara tidak langsung ianya dilihat sebagai dakwah kepada orang lain. Sentiasalah ingat bahawa Allah tahu apa yang terbaik buat kita. Allah juga tidak pernah melihat hasil kerana DIA lebih memandang pada usaha yang kita lakukan. Lebih-lebih lagi, hidayah adalah hak mutlak Allah. Oleh itu, sentiasa memperbaiki diri, dan serulah orang lain. Wallahu a'lam.


hari pencerahan



hari ini 11 jamadil akhir 1430 hijrah. Hari ini genap usiaku 21 tahun menurut bulan Islam. Ada apa dengan usia? melainkan pertambahan angka dan tanda menghampiri penghujung usia. Menjadi isyarat bahawa hidup bakal berhadapan dengan tanggungjawab yang bertambah. Dalam manusia asyik sibuk mengingati tarikh kelahiran masihi, membuat persediaan menyambutnya, tidak salah rasanya tarikh kelahiran dalam bulan islam juga turut dikenang. Bukan sekadar tersimpan dalam memori dan kotak minda semata-mata, tetapi perlunya hari pencerahan agar diri sentiasa bermuhasabah dan berazam. Menurut bonda, kudilahirkan pada hari jumaat 11 jamadilakhir 1409 pada pukul 12.10 minit pagi. Pada waktu itu, manusia lebih cenderung merayakan sambutan masihi. Malahan sehingga kini pun, tarikh masihi lebih menjadi pilihan untuk disambut.

Memang sepanjang 21 tahun aku bergelar manusia, sambutan bulan Islam bukan menjadi perkara keutamaan. Bahkan bukan juga perkara sampingan. Ringkasnya, tiada apa-apa yang menarik tentang bulan Islam melainkan peristiwa kelahiran baginda Rasulullah, Nuzul al-Quran, Muharam dan lain-lain. Walaupun mutakhir ini ada sahaja sahabat-sahabat yang berikhtilaf tentang perlunya tarikh-tarikh tertentu diperingatkan. Bagiku, mudah sahaja. Fitrah manusia yang inginkan perhatian, atau keistimewaan, mendorong sebahagian besar menjadikan hari-hari istimewa bulan Islam sebagai hari cuti. Dan paling tidak, hari-hari tersebut mendidik masyarakat marhaen tentang sejarah jikapun mereka tidak menghayati asbab hari tersebut disambut.

11 jamadilakhir pula akan kusisip dalam ingatan agar menjadi medan bermuhasabah dan islah. Perubahan dan pembaharuan perlu dilakukan sementelah janji manusia dengan Allah satu tika dahulu sudah terungkai. Peristiwa yang terakam di dalam surah al-A'raf ayat 72 menjadi bukti seluruh umat bersaksi bahawa Allah itu adalah Tuhan sekalian alam. Sebaik sahaja manusia melihat dunia, kain putih yang suci itu tercorak mengikut acuan. Ibu bapalah yang mencorakkan sama ada menjadi yahudi, nasrani atau majusi. Ibu bapa yang disebut berdasarkan sabdaan nabi itu boleh sahaja menjadi pengaruh rakan, media dan suasana masa kini.

Justeru, hari pencerahan dilakukan agar manusia yang pelupa ini menerima peringatan. Melakukan perubahan dan islah perlu dimulakan meski sentiasa dibelenggu dengan dosa. Hakikat taubat ini perlu disusuli dengan azam. Imam al-Gazali pernah berkata, istighfar adalah sekecil-kecil taubat. Justeru, hari pencerahan ini kuharapkan membawa satu peringatan yang baik pada diri, bukan hanya mengenang dosa-dosa lalu, tetapi bersedia melakukan perubahan dengan cara pengislahan. kata saidina Ali karamallahu wajhah, Perbaiki diri, dan serulah orang lain.

Berguru pada diri sendiri

























Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

ika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Bingkisan sebahagian daripada sajak nukilan allahyarham Usman Awang tentang guru sememangnya punya maksud yang jelas. Peranan guru sebagai arkitek bangsa, harus dihargai zaman berzaman. Sementelah pula guru merupakan kerjaya paling tertua di dunia. Sejarah bermula bagaimana Allah sendiri menciptakan Adam a.s. Kemudian diajari Adam a.s beberapa nama. Allah juga menguji para malaikat dengan soalan yang sama. Dan seperti yang semua ma'lum, peristiwa yang terakam dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah itu bukti bahawa Allah menjadi guru kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan jelaslah guru merupakan kerjaya tertua di dunia.

Cikgu, guru, mu'allim, murabbi, pensyarah, pengajar, pendidik, ustaz, ustazah atau apa sahaja istilahnya, asalkan berperanan memindahkan pengetahuan dan keterampilan kepada pelajar, menjadi medium perantaraan cinta manusia dan cinta Tuhan, menjadi sebaik-baik manusia yang dapat bermanfaat kepada orang lain bahkan mengajar waima satu huruf sekalipun, perlu kita sanjungi. Perlu kita hormati akan mereka. Golongan inilah yang membentuk peribadi individu sama ada menjadi manusia yang cemerlang dunia akhirat, atau manusia yang tersungkur dalam jenayah semasa.

Mutakhir ini, konflik institusi pendidikan kian meruncing, persilisihan antara ibu bapa, guru dan pelajar seolah-olah tidak menemui nokhtahnya. Apa sahaja yang boleh dinilai puncanya dari kaca mata masyarakat, sudah dibangkitkan. Pelajar semakin nakal atau melampau, Ibu bapa yang terlalu memanjakan ataupun guru yang bertindak keterlaluan. Tragedi saman-menyaman, heret guru, ibu bapa dan pelajar ke muka pengadilan dan lain-lain tindakan perlu dipandang serius akan kebejatannya. Peredaran zaman juga menyaksikan landskap permikiran masyarakat kini yang sukar menerima idea atau saranan yang pernah terbukti melalui lipatan sejarah. secara asasnya, perubahan hanya berlaku melalui daya fikir yang konstruktif. Usah terlalu mengejar penyelesaian atau alternatif ciptaan manusia, kerana kalam Allah sendiri punya jawapan. Sampai bila kita perlu tunduk dengan sistem ciptaan manusia terutama daripada ideologi barat, bahkan bangsa mereka yang dikatakan maju masih goyah. Lupakah kita dengan kejayaan tamadun Islam yang berdiri hampir lima ratus tahun?

Setiap musibah yang berlaku ada penyelesaiannya. Ingin mencipta tamadun melalui kuasa politik, cepat sahaja perubahan berlaku dan cepat sahaja kemusnahan tercipta. Ingin membentuk kemajuan melalui ekonomi, sehingga kini kita masih bergantung pada dasar kuasa dunia. Ringkasnya, perubahan hanya berlaku melalui pembinaan individu. Kemajuan bakal dijejaki melalui penguasaan kerajaan diri. Sekiranya guru digelar arkitek bangsa, maka, jadilah guru pada diri sendiri. Seandainya pendidik adalah pembentuk ummah, maka didiklah peribadi dahulu. Dan jika kerajaan berkuasa membangunkan negara, segeralah bangunkan kerajaan rohani.

Allah berfirman dalam surah al-Ra'du: 11 yang bermaksud:

" sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum,
melainkan mereka sendiri yang mengubahnya"


Bahkan mafhum dari surah al-Anfal:53

"yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah s.w.t sesekali tidak merubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada sesuatu kaum, hingga kaum itu merubah diri mereka sendiri"


Merenung kembali konflik institusi pendidikan negara. Dasarnya bermula dengan menjadi guru pada diri sendiri. Ibu bapa misalnya, adalah pendidik paling berperanan besar dalam kehidupan manusiawi. Pembentukan keluarga melalui pendidikan rabbani, menjadi contoh yang terbaik dalam membentuk suasana islami seterusnya bakal melahirkan pelajar rabbani. Pelajar yang beriorientasikan penghayatan akidah yang mantap, hasil acuan institusi keluarga sebagai pendidik, mampu menjadi guru pada diri sendiri. Berkemampuan menilai kebaikan dari pandangan Tuhan, dan berakhlak dengan akhlak al-Quran, nescaya di mana sahaja mereka ditempatkan, proses pendidikan rabbani itu sentiasa berterusan. Hasil yang lebih baik, guru-guru yang berupaya menjadi pendidik, yang tidak melihat material (gaji) sebagai perkara pokok, akan sentiasa memantapkan pengisian rohani pelajar dan menterjemahkan dalam bentuk praktikal mengikut kehendak semasa.

Bercakap atau menulis memang mudah. Namun begitu, soalnya adalah diri sendiri. Pengiktirafan atau peringatan hanyalah sia-sia sekiranya sikap pentingkan diri sendiri sudah menjadi duri dalam daging. Buatlah sebanyak manapun sambutan hari guru, ibu bapa, pelajar dan apa sahaja yang ingin kita namakan, jangan sesekali lupa tentang kualiti perubahan bermula dari diri sendiri. Dunia yang telah mendidik masyarakat mencintai material sukar untuk disekat kemaraannya, tetapi jangan lupa pada senjata yang kita ada. Ilmu dan Iman yang kini hanya tinggal picisan dimamah fatamorgana. Ilmu dan Iman yang hanya tertera pada lambang sekolah, juga ilmu dan iman yang hanya dikaitkan dengan ritual keagamaan.

Jangan sesekali kita lupa, setiap ibu dan bapa adalah guru. Setiap guru berperanan sebagai ibu dan bapa. Setiap guru pernah menjadi anak. Setiap ibu bapa bermula sebagai anak atau pelajar. Dan setiap anak atau pelajar bertanggungjawab menjadi guru pada diri sendiri. Maka kitarannya tidak akan terputus. Sikap tuding jari pada guru, atau pada ibu bapa, mahupun meletakkan kesalahan pada pelajar seolah-olah menuding jari pada diri sendiri. Lantaran itu, tidak ada pengkhususan hari-hari tertentu untuk insan berjasa melainkan setiap hari adalah hari guru, dan setiap hari merupakan hari ibu dan bapa. Kerna itu, jangan terlupa rangkap ini buat tatapan.


dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

kita disibukkan dengan perkara santai














Malam tadi Allah telah mengaturkan satu pengisian menarik untuk dikongsikan. Perencanaan bermula dari sekadar berbalas mesej. Sesuatu yang pelik apabila pertemuan dipersetujui setelah menerima mesej berbunyi. "malam ni di kubur". Bagi pelajar yang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, bukanlah perkara asing apabila perjumpaan diadakan di 'kubur'. Jangan ada yang salah sangka, perjumpaan tersebut tiada kaitan dengan pujaan atau ritual bukan-bukan berunsurkan khurafat, tetapi terdapat beberapa restoran atau food court yang terletak berhampiran kubur. Justeru, rata-rata pengunjung atau penuntut UIA lebih gemar menyebut, "jom makan di kubur".

Walaubagaimanapun, bukan itu isunya. Pokoknya budaya bersantai atau mudah disebut melepak perlu diisi dengan perkara yang bermanfaat. Siapa yang mampu menyekat keinginan pelajar khusunya remaja menghabiskan masa bersantai dengan sahabat-sahabat. Boleh juga kita katakan daripada melepak lebih baik mengulangkaji di bilik. Banyak faedahnya. Namun begitu, seperti yang saya sebutkan tadi, tiada siapa mampu menyekat kebebasan remaja. Sementelah pula suasana kita pada hari ini telah banyak disibukkan dengan perkara sia-sia. Atas dasar itu, bersikap konstruktif adalah lebih baik. Bukanlah bermaksud saya defensif dengan golongan-golongan yang suka berhibur, tetapi menyantuni mereka boleh sahaja menjadi sebahagian dari tugasan da'ie.

Justeru, apa yang menariknya pertemuan di restoran tersebut diisi dengan perbincangan berbentuk isu semasa. Diselitkan sedikit dalil-dalil dalam keadaan yang santai agar penerimaan bukan saja dalam kelompok yang kecil, tetapi mencapah ke sekeliling. Ada unsur-unsur humor dan gurau tentang perkara-perkara benar, kelangsungan dakwah bil hal tersebut berlaku dalam tempoh yang singkat.

Inilah yang dikatakan bersifat konstruktif. Menghukum golongan yang bersantai atau melepak, memandang rendah dan memperlekeh mereka bukanlah tindakan yang baik. Hakikatnya persepsi atau tindakan ini bakal mewujudkan satu jurang di antara da'ie dan mad'uu. Sedangkan as-Syahid Hassan al-Banna juga berdakwah di kedai kopi, jadi jangan sesekali kita menegur secara terus atau secara sindiran. Lebih baik berdakwah dengan hati. Hanya hati menerima perkara yang disampaikan melalui hati. (Boleh rujuk penulisan al-Ustaz Abbas as-Sisi).


Sememangnya isu biasa masa santai sebahagian golongan remaja diisi dengan menceritakan keperibadian sendiri, hal-hal orang lain, isu artis, ahli sukan, politikus-politikus, rancangan televisyen dan sebagainya. Jadi, hiduplah dengan luar biasa. Bermula dengan praktikkan dalam kelompok yang kecil, sehingga kita punya keyakinan dan kekuatan bergaul dengan mereka. Jangan sesekali kita meletakkan sempadan di antara kita dengan mereka kerana yang membataskan antara seseorang dengan seorang yang lain adalah sempadan aqidah. Sebagai penutup, renungilah mafhum surah al-Ghaashiyah:21-24

"Wahai Muhammad, hendaklah engkau memberi peringatan. Tetapi ingatlah, tugasmu hanya memberi peringatan. Bukanlah kamu (Muhammad) seorang pemaksa. Tetapi siapa yang berpaling (tidak menurut perintah) dan ingkar, Allah akan menyeksa dengan seksaan yang pedih"


sejam dan 20 sen


Setelah beberapa lama laman sesawang ini berehat, kini tiba masanya segala perkara dan percaturan yang lama tepu dalam kotak minda bisa sahaja diterjemahkan buat manfaat semua. untuk topik kali ini, rasanya tiada salah jika isu Earth Hour dibangkitkan. Bagi saya, perlu sesuatu yang bersifat segar dicetuskan semula. Meski sudah hampir sebulan Earth Hour ditinggalkan, sekiranya kita hanya menganggap tempoh sejam bergelap sahaja bukti kita menjaga alam sekitar, dan menganggap isu Earth Hour isu ketinggalan untuk diperbincangkan, nyatalah kita adalah manusia yang diketegorikan sebagai "Golongan Bermusim".

Apabila tiba sahaja sesuatu peristiwa, kitalah orangnya yang paling lantang bersuara, menghukum manusia yang ketinggalan sesuatu isu, dan setelah peristiwa itu sudah berlalu, maka diamlah kita seakan-akan tidak pernah tahu apa-apa. Natijahnya, isu Palestin, isu Islam dihina, peristiwa Earth Hour dan lain-lain hanyalah tersimpan kemas tanpa disusuli dengan tindakan yang konsistan.

Saya tertanya-tanya, adakah tindakan atau kempen lain yang akan dilakukan oleh bangsa kita, (rakyat Malaysia) setelah Earth Hour diraikan. Mungkin akan ada iklan-iklan televisyen atau di papan tanda jalan secara meluas berhubung kempen Penjimatan Tenaga Elektrik, Air, Penjagaan Alam Sekitar. Malangnya, memang sudah menjadi kebiasaan kita berada dalam kelompok yang bermusim. Dalam tempoh sejam kita bergelap (Hearth Hour), apalah sangat nilainya jika selepas dari hari tersebut kita masih lagi di takuk yang lama. Tenaga elektrik dan air dibazirkan, penggunaan yang melampau dan sebagainya.

Barangkali ramai yang suka akan sambutan Earth Hour kerana adanya hiburan. Kafe-kafe terkemuka mengadakan promosi hebat. Jadi, boleh sahaja dikatakan ramai yang meraikan Earth Hour bukan kerana kesedaran terhadapan penggunaan sumber tenaga yang berlebihan, tetapi disebabkan faktor lain.

Apapun, tahniah diucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin walaupun saya tidak bergelap pada waktu itu. Hal ini kerana saya telah membuat perbandingan antara bergelap sejam (Earth Hour) dengan penggunaan bungkusan Eco Pack. Sebahagian IPTA dan kebanyakan tempat ada memberi pilihan kepada pembeli sekiranya ingin membungkus makanan menggunakan polisterin (yang digelar white coffin) atau Eco Pack. Bezanya sudah tentulah daripada segi harga.

Melalui pemerhatian saya, tidak ramai yang sanggup berlabur lebih waima cuma 20 puluh sen, sedangkan dengan nilai 20 sen itulah kita menjaga alam sekitar secara berterusan. Kecualilah memang tiada pilihan sehingga kitaterpaksa menggunakan 'white Coffin' juga. Ini hanyalah sebahagian kecil usaha kita menjaga alam sekitar. Jangan sesekali kita lupa, segala yang ada di muka bumi ini semuanya hak Allah. Siapalah kita yang menggunakan hak Allah itu dengan sia-sia. Tambahan pula, akhir-akhir ini cuaca juga sudah tidak keruan. Panas yang membahang dan hujan hampir sahaja setiap hari mungkin sahaja peringatan dari Allah buat kita. Siapa tahu bumi sudah dimamah usia?




salam kekasih Allah












Daripada Abu Hurairah r.a berkata:

Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah. Bilakah kenabian diwajibkan bagimu?"
sabda Rasulullah s.a.w : " Ketika Adam berada dalam proses kejadiaannya di antara ruh dan jasad"

Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tarmizi dan beliau berkata ianya hadis hasan sahih gharib. Imam at-Tarmizi merupakan anak murid kepada imam al-Bukhari.

Daripada saidatina A'isyah r.a: sabda Rasulullah s.a.w, telah berkata jibril:
"Aku telah memeriksa timur dan barat bumi ini, maka aku belum pernah mendapati seorang lelaki yang lebih mulia daripada Muhammad s.a.w dan tidak pernah menemui bani yang lebih afdhal daripada bani Hasyim"

riwayat at-Tabrani, al-Baihaqi dan lain-lainnya. Berkata al-Hafiz ibnu Hajar: Tanda kesahihan hadis ini adalah zahir pada matannya.

Teringat tazkirah seorang ustaz. Katanya, "saya didatangi beberapa pelajar, yang sering bertanyakan tentang hukum salawat dan zikrullah" Barangkali sebahagian daripada kita pernah berhadapan situasi begini. Sama ada kita ditanya, atau kita yang bertanyakan soalan ini. Jawapan ustaz tersebut sangat mudah.

"tanya diri kita sendiri, antara perkara lalai dan zikrullah serta salawat, mana yang sering kita lakukan?"

Sudah tentu tiada siapa yang menafikan bahawa kelalaian adalah perkara yang sering kita lakukan. Maka, di antara kelalaian dan salawat serta zikrullah, bagaimana tergamak kita bertanyakan hukum yang kita sendiri jarang atau tidak pernah lakukan? Tidak pula kita terfikirkan apakah hukum sekiranya kita lalai mengingati Allah dan kurang bersalawat kepada baginda Rasulullah.

Semua tahu di saat baginda berdepan dengan sakarat al-Maut, hanya kalimah ummati yang terpacul di bibir mungil baginda. Tetapi kini kita sendiri berkira-kira tentang salawat atau zikrullah terutama dalam kumpulan yang ramai.

Sedarlah sahabat-sahabat. Nabi diutuskan untuk menyempurnakan akhlak. Dan akhlak baginda adalah al-Quran. Da'wah baginda adalah da'wah kasih sayang. Bagaimana kita dengan beraninya mendakwa bahawa kita adalah sebenar-benar da'ie sedangkan kita sendiri bersangka buruk dengan golongan tertentu, bersifat penghukum. Berani benar kita mengaku kita berdakwah sedangkan amalan menjurus amalan ahli neraka.

Oleh itu, sedarlah. Bersama kita menghayati hari kelahiran baginda untuk berubah. Rasulullah sendiri berpuasa ketika hari kelahiran baginda, maka tiada salahnya kita meningkatkan amalan dan beristiqamah dalam perkara kebaikan




air mata bahasa

SITUASI SATU

Awan mendung mula berarak. Perut langit yang memberat akhirnya menurunkan hujan. Titisan-titisan hujan yang membasahi lantai bumi umpama keringat melayu yang berjujuran dari jiwa pahlawan muda. Aku tidak terkecuali. Turut mengatur langkah menuju lautan manusia yang memenuhi perkarangan Masjid Negara. langkahku kecil sahaja. Tetapi kupunya semangat besar. Semangat orang muda. Tanganku digenggami ayah erat-erat. Biar aku dikatakan masih berhingus, membaca pun tidak lancar, tetapi aku fahami kenapa aku perlu berada di sini. Di Masjid Negara ini. Biar juga orang mengatakan kanak-kanak kecil seperti aku ini hanya diperalatkan.

Tetapi menurut ayah, aku perlu tahu ini semua. Aku perlu faham perjuangan bahasa, walaupun aku baru belajar mengeja.
Selepas ayah menunaikan solat zohor, aku didukunginya melihat lautan manusia dari serambi masjid. Semangatku semakin membara, melihat betapa ramainya manusia berpakaian putih. Ada beberapa orang lagi yang kukira seusia denganku. Langit mula mencerah sedikit, membuka tabir cahaya dari langit. Kedengaran laungan takbir dan kata-kata semangat berkumandang.


SITUASI DUA

Aku termenung di jendela. Melihat langit yang berubah rona. Perjuangan perlu diteruskan. Aku tidak gusar biar hujan akan turun. Beberapa suara sumbang sebelum ini kembali terngiang-ngiang di cuping telingaku. Aku sedar, kini tiada lagi perjuangan Mat Kilau, Tok Janggut, Bahaman menentang penjajah. Aku sedar, satu tika dahulu aku berdiri gagah di baris hadapan. Memegang sepanduk menuntut kebebasan. Aku masih teringat senyuman Shamsiah fakeh saat berdiri di sebelahku. Semua itu sudah berlalu. Hanya termaktub dalam kitab-kitab sejarah dan sebahagian lagi terakam dalam minda orang-orang seperti kami.

Deruman kereta Samad berkumandang. Aku mempersiapkan diri. Mungkin langkahku lambat, dan tidak segagah dahulu, tetapi aku tahu aku perlu berada di sana. Dan aku yakin, ramai lagi orang seusia denganku akan berada di sana. Meski telinga sudah tidak berapa dengar, kulit muka berkedut seribu, aku yakin dengan suara hatiku. Ada darah perjuangan yang pernah mengalir dalam jasad si tua ini. Dan hari ini, orang-orang itu akan melihat aku memperjuangankan bahasa Melayu dengan sisa-sisa kudrat yang ada. Setidak-tidaknya, tampang ini tidak menyesal, andai dipersoalkan cicit-cicit generasi akan datang, tentang usaha akhir aku mempertahankan bahasa Melayu, hak-hak orang melayu.

Samad membuka pintu kereta. Sambil mengemas kerudung, aku dipapah oleh seorang lagi cucuku. Dia juga bersama denganku. Meski sudah menjawat pekerjaan yang baik dia tetap punya semangat orang melayu. Walaupun kadang-kadang kulihat dia berbicara dengan bahasa penjajah, kuyakin dia tahu apa yang akan kami lakukan.


SITUASI TIGA

Hujan turut dengan lebat. Debaran hatiku menjadi tidak keruan. Tinggal beberapa lagi soalan yang belum dijawab. Sesekali kedengaran beberapa batuk kecil dari meja belakang. Sejujurnya aku tidak dapat beri sepenuh tumpuan ke atas soalan peperiksaan ini. Pegawai peperiksaan hanya mundar-mandir di hadapanku. Dalam pada itu, telefon bimbit sering sahaja bergetar, menandakan beberapa panggilan tunggu dijawab. Aku merenung wajah pengawas peperiksaan. Barangkali tahu permintaanku, dia hanya mengangguk cuma. Aku menerima panggilan dari ketua tempat ku bekerja. Seraya mengangguk, kuputuskan panggilan. Fahamlah aku bahawa di saat sedang berhadapan dengan kertas peperiksaan, ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Sebagai anggota yang berdisiplin dan sering ditekankan dengan slogan 'Mesra, Cepat dan Betol' aku perlu segera sudahi soalan-soalan ini. Tidak berapa lama kemudian, dewan peperiksaan UITM Shah Alam ini mula hingar-bingar. Barangkali ada beberapa anggota yang menerima tugas mendadak sepertiku. Tamat sahaja waktu yang diberi, aku dan beberapa anggota lain dibenarkan keluar segera atas tugasan yang diterima.

Hujan sudah mula berhenti. Awan hitam berarak pergi mengganti sedikit cahaya mentari yang menerobos keluar. Selepas mendengar taklimat, aku dan beberapa anggota yang bertugas perlu ke lokasi yang ditetapkan. Sering juga hati ini merungut. Tiada kerja lain agaknya orang sekarang, asyik berdemonstrasi sahaja. Yang susahnya orang-orang seperti kami.

Saat tiba di lokasi, hati agak terkesima. Melihat lautan manusia yang berarak berkemutih menuju ke Istana Negara. Perasaan simpati dan kasihan melihat susuk kanak-kanak kecil dan tampang generasi tua mula kuhapus. Aku ada tugas yang perlu diselesaikan. Kami berdiri rapat-rapat dan bersedia bertindak mengikut arahan. Sebahagian lagi rakanku memegang pistol pemedih mata. Sekiranya perlu, akan mereka lepaskan beberapa das. Itu sahaja pilihan yang kami ada sekiranya keadaan mendesak.



KETIKA INI

air mata bahasa,
engkau tidak petah berbicara,
engkau hanya hidup,
bersama-sama orang yang merasa.
air mata bahasa, sejarah kini kembali,
keranda 152 dijulang berani,
membawa misi yang suci,
menuntut hak melayu dikembali.

air mata bahasa,
jerih sudah pekikan siswa,
hilang sudah kudrat si tua,
longgar sudah tenaga pemuda,
apabila tindakan kau,
dikatakan sia-sia,

air mata bahasa,
manusia yang beretorik dengan kuasa,
duduk megah di sofa selesa,
bersuara di dada-dada massa,
konon malu,
isu bahasa di jalan raya,
isu bahasa dikendong tampang-tampang si tua,
isu bahasa dijinjing budak belajar mengeja,
tetapi mereka terlupa,
bahasa juga milik bangsa,
mengakar menjadi pusaka,

air mata bahasa,
benarlah mereka terlupa,
biar lelehan kolam derita,
mengalir dari mata
kanak-kanak dan wanita,
berjuraian dari pelupuk si tua,
jangan sekali kau berhenti,
jangan sedikit terpadam
dari memori,
kerana engkau air mata bahasa,
hanya untuk orang yang merasa.
hanya untuk orang berjiwa.





Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template